Sudah semestinya kita semua tahu bahawa semua anak-anak
memerlukan kita sebagai ibubapa mereka. Kebanyakan ibubapa pastinya mempercayai
bahawa apa yang diperlukan oleh setiap anak-anak adalah perasaan kasih sayang.
Tetapi, kasih sayang sahaja tidak semestinya akan mewujudkan
perasaan diperlukan dan memerlukan antara ibubapa dan anak-anak. Sebaliknya,
kasih sayang juga apabila berlebihan membuatkan ibubapa sering memanjakan anak-anak
secara keterlaluan, menghukum anak-anak atas alasan sayang, atau membuat
keputusan yang kurang bagus bagi pihak anak-anak.
Semua orang – ibubapa dan anak-anak – memerlukan di antara
satu sama lain, dan diperlukan untuk memainkan peranan masing-masing.
Kita semua, kita menerima diri kita masing-masing seadanya
tanpa sebarang syarat, tanpa mengira kebolehan atau kelebihan yang kita ada.
Anak-anak sangat kuat mempunyai perasaan memerlukan kita sebagai ibubapa. Lagi
pula, anak-anak kita masih belajar tentang dunia di sekeliling mereka dan di
mana tempat untuk mereka berada. Apa yang mereka tahu, mereka tetap mahu
disayangi, dipeluk, dicium dan dikasihi walaupun mereka sering mengamuk,
tantrum dan sebagainya.
Anak-anak yang merasakan diri mereka tidak diperlukan, akan
menjadi anak yang tiada keyakinan, dan anak-anak yang tiada keyakinan selalunya
akan melakukan perbuatan yang tidak baik (misbehave). Anak-anak akan
menggunakan cara yang salah untuk mendapatkan perhatian dan rasa diperlukan
daripada kita sebagai ibubapa.
Malah salah laku anak-anak juga boleh dikira sebagai “amaran”
kepada kita sebagai ibubapa bahawa mereka kekurangan perhatian, masa bersama,
kasih sayang dan perasaan memerlukan. Oleh itu kita seharusnya peka akan “amaran”
seperti ini, agar hubungan kekeluargaan ini tidak terus rosak.
Apabila kita berjaya mewujudkan rasa diperlukan dan
memerlukan antara setiap ahli keluarga, rumah akan menjadi tempat paling
selesa, tenang dan selamat buat anak-anak.
Nota : Rumah adalah simbolik kepada titik perhubungan semua ahlinya. Mungkin sebab itu ada yang mengatakan rumah adalah di mana adanya ibubapa. Hubungan yang baik antara ibubapa dan anak-anak menjadikan titik perhubungan itu sentiasa menarik-narik ahlinya untuk sentiasa bersatu, rasa tenang bila bersama, dan rasa selamat walau di mana mereka bersatu.